Friday, September 12, 2008

MENOLAK USAHA MENERUSKAN PELAKSANAAN PENGAJARAN SAINS, MATEMATIK DAN TEKNOLOGI DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DI PERINGKAT SEKOLAH HINGGA IPT

KENYATAAN MEDIA

MENOLAK USAHA MENERUSKAN PELAKSANAAN PENGAJARAN SAINS, MATEMATIK DAN TEKNOLOGI DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DI PERINGKAT SEKOLAH HINGGA IPT(http://www.prihatin.net/)

(12 SEPTEMBER 2008 / 12 RAMADHAN 1429H)

1. Pengendalian Persidangan Meja Bulat anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang cuba mendapatkan pandangan tentang PPSMI telah dilaksanakan secara “tidak adil” dan “laporannya” dalam akhbar juga “mengelirukan”. Tiga daripada lima orang pembentang bukannya berbicara tentang PPSMI tetapi tentang kepentingan menguasai bahasa Inggeris yang tidak pun dinafikan oleh kami. Kami bimbang akan kemunculan watak-watak “pembesar” seperti dalam cerita “Maharaja dengan Baju Barunya” yang hanya mengiyakan bahawa baju raja cantik walaupun raja sebenarnya tidak berbaju. Lagipun semasa hendak mengubah ke bahasa Inggeris dahulu tiada meja bulat pun dan tidak pun ditimbulkan tentang kesan ekonomi perbukuan bahasa Melayu. Apakah meja bulat ini hanya untuk mengaburi mata orang ramai saja kerana pengerusinya tidak dapat membuat kesimpulan secara objektif dan tepat. (Contoh pertemuan 27 Ogos 2008 yang lalu – rujuk The Star dan Utusan Malaysia 28.8.08 dan catatan wakil ASASI di www.prihatin.net).

2. Bagaimana pemimpin kerajaan boleh mempertahankan tindakan yang terang-terang melanggar Akta? Tindakan ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Kononnya dua mata pelajaran tetapi ternyata kini bahawa sebenarnya lebih 80% kursus di sekolah menengah dan IPT telah diajar dalam bahasa Inggeris. Ini adalah benar dan bukannya andaian palsu. Apabila ini sudah berlaku maka Akta mungkin akan dipinda atas alasan fait accompli dan hancurlah bahasa Melayu. Soalan “adakah kita mahu meneruskan PPSMI atau tidak” sebenarnya samalah maknanya dengan soalan “adakah kita mahu meneruskan usaha menghancurkan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi?” (rujuk Siri Bicara Bahasa Bil.15, 2002 terbitan PLM & DBP). Kami sedia berdebat tentang kehancuran bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.

3. Kajian yang “lebih” jujur dan tidak berkepentingan oleh pelbagai pihak termasuk oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kajian Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin di bawah payung UKM-DBP misalnya menunjukkan mereka yang di bandar dan mereka yang dari keluarga yang berpendapatan tinggi mendapat manfaat dari PPSMI manakala majoriti pelajar luar bandar lebih terdera. Dengan PPSMI jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar. Yang menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu kerana mereka kira-kira 70% penduduk luar bandar dan ini amat tidak adil kerana mereka dinafikan pendidikan berkualiti.

4. Tujuan seluruh usaha ini ialah untuk meningkatkan penguasaan BI pelajar. Tetapi ini telah dilakukandengan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi. Penyelesaian ini seperti kata pepatah Melayu, lain yang luka lain yang dibebat. Tidak pernah dibuktikan di mana-mana di dunia, mengajar sains dan matematik boleh meningkatkan penguasaan bahasa. Pelaksanaan PPSMI di negara bekas jajahan British di Afrika dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Perancis di negara bekas jajahan Perancis di Afrika tidakpun memajukan negara tersebut, malah tinggal mundur dan miskin walaupun bahasa negara termaju digunakan. Hanya Amerika Syarikat, Britain, Australia dan New Zealand wajar melaksanakan PPSMI.

5. Kemungkinan besar tindakan ini untuk menutup kegagalan Kementerian dalam usaha mencari kaedah yang sesuai untuk mengajar bahasa Inggeris. Tegasnya Kementerian mestilah mencari kaedah mengajar bahasa Inggeris yang sesuai dan berkesan.

6. Kerajaan mestilah belajar dari pengalaman. Dalam tahun 60-an Kerajaan telah “mengusir” keluar tulisan jawi daripada bilik darjah. Akibatnya 40 tahun kemudian akhbar tulisan jawi menjadi tidak lagi berdaya maju, menjadi sisipan saja kepada akhbar tulisan rumi. Sekarang kerajaan sekali lagi “mengusir” keluar bahasa Melayu daripada bilik darjah “sains dan teknologi”. Kemungkinan besar 40 tahun lagi akhbar berbahasa Melayu tidak akan berdaya maju dan akan menjadi sisipan saja kepada akhbar Inggeris dan Mandarin. Pada waktu itu bahasa Melayu bukan lagi bahasa ilmu dan budaya tinggi. Sejarah akan mendera kita lagi.

7. Gesaan kami agar pihak berkuasa mengembalikan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang telah berjaya dan dipersetujui bersama-sama. Kembalikanlah kewibawaan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini sebagai penghantar sains, matematik dan teknologi di sekolah rendah, sekolah menengah dan di IPT. Jika pertukaran dilakukan di peringkat sekolah rendah sahaja, dan/atau sehingga di sekolah menengah sahaja, akan hanya merupakan tindakan “melepas batuk di tangga”. Bahasa Melayu tetap hancur di negaranya sendiri. Kesan negatif akibat PPSMI telah melarat-larat dengan keghairahan pemimpin besar dan kecil sehingga menghina dan memperkecil bahasa rasmi/bahasa kebangsaan dalam semua aspek kehidupan di negara ini sebagai bahasa rasmi, ilmu dan perhubungan di negara ini sehingga DBP pun seolah-olah sudah “mati” dan tidak berwibawa lagi.

8. Malaysia bukan England, bukan Amerika, bukan India, bukan Taiwan, bukan Singapura. Malaysia adalah Malaysia yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu yang sejarahnya bermula sejak sebelum kerajaan Melayu Melaka lagi. Kembalikanlah bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara kita seperti sebelum tahun 2003. Kepemimpinan Melalui Teladan. Hormatilah keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara, (Rukun Negara ke-3 dan ke-4).

9. Rancangan untuk menjadikan keputusan UPSR pada tahun ini sebagai salah satu penentu penerusan PPSMI juga amat tidak logik dan membelakangi ilmu perancangan pendidikan. Bahasa Melayu tetap hancur dan musnah akibat PPSMI, keputusan dan angka juga boleh berubah-ubah atau dimanipulasi dan soalan juga masih dwibahasa.

DENGAN INI KAMI BADAN-BADAN BUKAN KERAJAAN YANG BERIKUT (SEBAHAGIAN BESARNYA MEMANG MEMBANTAH PPSMI SEJAK URA-URA HENDAK DILAKSANAKAN PADA TAHUN 1996 DAHULU LAGI (LIHAT ASRAF, MANIFESTO BUDAYA PUPUS BAHASA PUPUSLAH BANGSA, 1996, PLM:KL DAN BUKU MENGAPA KAMI BANTAH SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS, ABDULLAH HASSAN, PTM:KL) MENDESAK LAGI SEKALI SUPAYA PPSMI YANG DILAKSANAKAN SEKARANG INI DIBERHENTIKAN SERTA-MERTA DAN KEMBALI KEPADA DASAR SEBELUM 2003.


1) KUMPULAN PRIHATIN
2) PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA (PLM)
3) ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
4) AKADEMI SAINS ISLAM MALAYSIA (ASASI)
5) MAJLIS PROFESOR SAINS DAN TEKNOLOGI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
6) WADAH PENCERDASAN UMAT (WADAH)
7) PERSATUAN PENTERJEMAH MALAYSIA (PPM)
8) PERS.KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
9) INSTITUT ALAM TAMADUN MELAYU,UKM (ATMA)
10) PERS. PENULIS NASIONAL (PENA)
11) PERS.EKSEKUTIF & USAHAWAN BUMIPUTERA MALAYSIA (PESUMA)
12) PERS.BEKAS PELAJAR ITM (PBP-ITM)
13) PERS.SULUH BUDIMAN (PSB)
14) PERS.MAHASISWA ISLAM TIMUR TENGAH (PBMTT)
15) PERS. PENGAJIAN MELAYU MALAYSIA (PPMM)
16) PERS. SENIMAN MALAYSIA (SENIMAN)
17) GABUNGAN PERS.PENULIS NASIONAL MALAYSIA (GAPENA)
18) TERAS PENGUPAYAAN MELAYU (TERAS)
19) GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS)
20) PERT.TINDAKAN WANITA ISLAM (PERTIWI)
21) PERS.ALUMNI SEKOLAH ALAM SHAH (PASAS)
22) KESATUAN SEKERJA DBP
23) PERSATUAN PENULIS KUALA LUMPUR (KALAM)24) PERSATUAN PENULIS JOHOR (PPJ)
25) PERSATUAN PENULIS MUAR
26) PERS. ULAMA MALAYSIA PULAU PINANG (PUMPP)
27) GABUNGAN MAHASISWA DARULAMAN (PERSADA)
28) GABUNGAN MAHASISWA BERSATU PERAK (BERSATU)
29) KESATUAN GURU MELAYU MALAYSIA BARAT(KGMMB)
30) PERSATUAN SAINS KEADAAN PEPEJAL (PSKP)
31) PERS.BIOLOGI GUNAAN MALAYSIA
32) PERS.SAINS MATEMATIK MALAYSIA
33) MAJLIS PROFESOR SAINS DAN TEKNOLOGI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
34) KESATUAN PELAJAR ISLAM PERAK (KPIP)
35) KESATUAN PELAJAR ISLAM JOHOR (KPIJ)
36) GAMIS
37) PERSATUAN PENDIDIK INSAN NEGERI SEMBILAN (PPINS)
38) IKATAN PENGKAJIAN ISLAM PAHANG (IKATAN)
39) PERSATUAN KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN DAN SELANGOR
DARUL EHSAN (PEPIAS)
40) PERSATUAN KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ISLAM NEGERI KEDAH (PERSIDA)
41) PERSATUAN KEBAJIKAN ISLAM SARAWAK (PERKEPIS)
42) KESATUAN PELAJAR ISLAM MELAKA (KPIM)
43) PERSATUAN PEMBIMBING PELAJAR ISLAM KELANTAN (PPIK)
44) PERSATUAN PEMBIMBING PELAJAR ISLAM PULAU PINANG (PEMBIMBING)
45) PERSATUAN KEBAJIKAN PELAJAR ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (PERTIWI)46) PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA (PSM)
47) PERSATUAN BAHASA MELAYU UNIVERSITI MALAYA (PBMUM)

Monday, July 28, 2008

Hari Interaksi PBMUM 2008

Hari Interaksi PBMUM 2008

Dewan Semarak ,Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya

8.30 pagi-1 Tengahari

Monday, July 21, 2008

Minggu PROMO

Minggu PROMO kembali lagi dan PBMUM tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama persatuan dan badan pelajar UM yang lain untuk mempromosi persatuan masing-masing.

Booth PBMUM kali ini bernombor 21 dan semoga minggu promo ini dapat menambahkan kuantiti ahli PBMUM dalam usaha memperkasa kembali PBMUM dengan kualiti ahli-ahlinya.

Dengan hanya bayaran RM 2 sahaja,anda layak menjadi ahli PBMUM ....

Ayuh beramai-ramai ke booth PBMUM..............

Wednesday, July 9, 2008

PBMUM: SATU PERJUANGAN


PBMUM: SATU PERJUANGAN


Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias




Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBM) dan Universiti Malaya adalah dua nama yang tidak dapat dirungkai dalam sejarah gerakan pelajar. PBM telah membuktikan keunggulan mereka dalam gerakan pelajar terutamanya mendaulatkan Bahasa Melayu. Kini, PBM semakin sunyi, sepi dan lesu sehingga maqam yang dimilikinya ketika dahulu semakin luntur. Artikel ini bertujuan mengimbau kembali kenangan PBM sebagai gerakan pelajar yang terunggul di negara ini.


PBM ditubuhkan pada 29 Januari 1955 di Singapura dengan ahli seramai 47 orang. Kelahiran utama PBM disebabkan mahasiswa Melayu terasa tercabar dengan cadangan segelintir pemimpin mahasiswa Melayu dalam forum radio yang menggesa sekolah Melayu dihapus dan diperluaskan penggunaan bahasa Inggeris. Pemimpin guru Melayu telah memcabar mahasiswa Melayu lain agar membuat respon terhadap isu ini pada tahun 1953.


Pada peringkat awal iaitu tahun 1955-1965, aktiviti PBM lebih kepada aktiviti bahasa dan kebudayaan. Mereka lebih banyak mengadakan forum dan aktiviti kebudayaan. Aktiviti PBM untuk menghidupkan kembali kebudayaan Melayu dengan aktiviti bahasa, seni dan sastera. Kegiatan pada tahap ini tertumpu di dalam kampus sahaja.


Pada tahun 1965-1971, zaman perjuangan PBM telah bermula. Pada tahap ini perjuangan PBM berimej nasionalis-sosialis yang bebas daripada pengaruh luar. ‘...perjuangan PBMUM sekarang ialah merangkumi setiap aspek perjuangan termasuk politik, ekonomi, pelajaran, sosial dan sebagainya.’[1]


Antara isu yang diperjuangkan oleh PBM adalah isu Bahasa Melayu, Dasar Pelajaran Kebangsaan, isu rakyat luar bandar (penerokaan tanah diTeluk Gong) dan penubuhan UKM. Pada waktu inilah munculnya Sanusi Osman, seorang mahasiswa sosialis yang bersama-sama berjuang dengan wira tanah rakyat negara, Pak Hamid Tuah. Episod ini menandakan zaman radikal gerakan pelajar.Pada tahun 1971-1974 kita dipaparkan dengan dua tahap pengaruh dalam PBM.


Pada tahap pertama PBM telah dikawal oleh PKPIM dan ABIM melalui pengaruh Anwar Ibrahim dan Noordin Razak. Pada tahap ini, PBM berimejkan Nasionalis-Islamis lebih banyak bersama PKPIM dan ABIM. Mereka bersama-sama telah memperjuangkan Isu Penindasan Orang Pathani oleh kerajaan Thai.


Pada tahap kedua, team Anwar Ibrahim telah tumpas kepada Mahadzir Khir[2] yang bersifat nasionalis yang cuba merapati kerajaan dan universiti. Team PBM nasionalis pro universiti ini telah menunjuk taring apabila mengagalkan rampasan kuasa universiti oleh PMUM setelah peristiwa Tasek Utara.[3] PBM di bawah pimpinan Aziz Shamsuddin[4] mewujudkan Majlis Tindakan Negara(MTN) mengagalkan usaha Majlis Tindakan Sementara(MTS) yang didokongi oleh PMUM.[5] MTN bersama kerajaan dan penguasa varsity telah membantai MTS (PMUM) di bawah pimpinan Kamarazaman Yaacob dan Hishamuddin Rais.Perbalahan ini cukup hebat kerana ia melibatkan peperangan ideologi Nasionalis-Melayu vs Sosialis. Kolej yang dikuasai oleh juak sosialis seperti kolej kelima telah menghalang lawatan juak MTN dan hampir mencetus pengaduhan.


Kekuatan PBM ketika ini cukup hebat kerana berjaya menghindari pengaruh Anwariyyun dan menentang golongan popular universiti, Kelab Sosialis Universiti Malaya yang menguasai PMUM.Pada tahun 1974-1980, PBM tampak lesu seperti persatuan lain ekoran dimandulkan oleh Akta Universiti dan Kolej (AUKU) 1975. Imej nasionalis berkurangan dan aktiviti PBM lebih kepada kemasyarakatan dan diskusi ilmiah. Idealis gerakan pelajar yang murni hampir tiada. Suasana lesu berterusan sepanjang tahap ini.


Pada tahap 1980-1990, PBMUM mula melakukan respon terhadap isu semasa. Unsur Islamis kembali kelihatan dalam PBMUM, contoh Husam Musa[6] selaku Setiausaha Agung PBMUM telah membidas kenyataan bertulis seorang ahli parlimen UMNO yang meremeh ajaran Islam. Selepas kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO, pengaruh PKPIM dan ABIM berjaya ditumbang dalam saf pimpinan PMIUM oleh team PMIUM revolusi Iran yang Pro PAS.[7]


Sebagai alternatif anasir-anasir PKPIM dan ABIM cuba menyusupi PBM setelah lama mendominasi PMIUM dan berjaya mengawal keseluruhan PBM pada tahun 1990-2000. Tahap ini muncullah Saifuddin Abdullah, Fuad Zakarshi (tokoh UMNO Johor) dan Fakrulrazi.


Pada tahun 1990-2000, pada awal dan pertengahan 1990an, PBM telah menjadi sarang PKPIM-UM di Universiti Malaya. Imej PBM lebih Islamis ala ABIM-PKPIM. Sokongan PBM hampir seimbang dengan PMIUM dan pada satu masa wakil PMIUM (Nadi) dan PBM (melalui BMB) saling tumbang-menumbang dalam pilihan raya kampus. PBM pro universiti ekoran hero mereka iaitu Anwar Ibrahim bersama kerajaan.


Perjuangan PBM [proksi PKPIM-UM] kembali bersifat oposisi apabila Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan. PBM bersama Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya (GMUM) telah mengalahkan calon-calon pro Hal Ehwal Pelajar (HEP) – Majlis Gerakan Mahasiswa Universiti Malaya (MGMUM).


Walau bagaimanapun, taring PBM semakin tumpul pada akhir 1990an. Ketiadaan pelapis dalam barisan kepimpinan menghilang suara PBM dalam perjuangan isu kampus dan nasional. Anasir PKPIM juga semakin pudar warnanya dalam mempengaruhi PBM dan PKPIM-UM sendiri gagal membekal benih-benih pimpinan yang berkualiti secara berterusan untuk PBM.


Kini, arah idealis PBM perlu diberikan nafas baru oleh pimpinan PBM agar terus relevan di UM.Isu Bahasa Melayu.PBM dan BM bagai isi dengan kuku. Nama PBM pasti tersemat dalam perjuangan mendaulatkan BM di bumi Malaysia ini. PBM telah mencela kenyataan Tunku Abdul Rahman dan Khir Johari kerana mengatakan BI akan dijadikan bahasa rasmi disamping BM. PBM memberi amaran ‘jika hendak mengelak pertumpahan darah, soal BM sebagai bahasa kedua tidak harus ditimbulkan.’Isu Penduduk Luar Bandar.


Pada tahun 1967, PBM mengadakan Simposium Penduduk Luar bandar bagi mengkaji masalah masyarakat luar bandar. PBM pada masa ini dibawah pimpinan Sanusi Osman[8] yang berfahaman sosialis (ahli Kelab sosialis Universiti Malaya). Hasil daripada simposium ini telah menyedarkan mahasiswa tentang keadaan masyarakat luar bandar. Respon utama adalah peristiwa Teluk Gong.


Jelas, PBM dulunya sebuah gerakan pelajar radikal telah berevolusi menjadi gerakan pelajar ‘biasa’. Zaman telah meluruskan perubahan agar PBM bersama-sama arus perdana. Perkataan lawan dan kritik gerakan pelajar dianggap propembangkang dan menentang universiti. Inilah kedangkalan pemikiran orang kita walaupun berderet-deret kepingan ijazah. Kini, keunggulan PBM menjadi sejarah, sejarah bisu yang menjadi agenda telah melahirkan ramai lagenda..*



Penulis pernah menjadi EXCO PBMUM dan kini berkhidmat sebagai pendidik. Mengenang saat indah bersama PBMUM. Terima kasih kepada para pimpinan PBMUM spt Osman, huda, ida dan pimpinan PKPIM sdri Amani, Helmi, Man, mamat. Aku merindui korang..



[1] Suara PBMUM, 1966.

[2] Setiausaha Parlimen Kemen. Pendidikan (2003)

[3] Pada masa ini, kekuatan PMUM dihalakan ke Tasek Utara.

[4] Timbalan Menteri Pendidikan (2003)

[5] Tindakan PMUM disokong oleh semua persatuan anak negeri dan persatuan di UM kecuali Persatuan silat Gayung dan PBMUM. MTN telah menculik Presiden PMUM. Lihat Kamaruzaman Yaakob, Bersama Anwar Ke Penjara.

[6] Aktif dalam PAS.

[7] PAS didokongi oleh ahli ABIM yang thiqah terhadap perjuangan asal ABIM seperti Fadzil Noor, Haji Abdul Hadi Awang, Haji Nakhaie Ahmad.

[8] Aktif dalam Parti Rakyat Malaysia(PRM).